Tuesday, February 8, 2011

CERITA SEDIH SEORANG ANAK

BUDAK BUSUK

Dia berlari sekuat tenaganya. Dia tahu dia lewat. Dia tahu dia akan
dimarahi Cikgu Suria sebaik sahaja dia melangkah kaki ke bilik darjah.
Tetapi dia tidak peduli. Dia lebih rela dimarahi dan didenda oleh
Cikgu Suria dari berada dalam rumah neraka itu.

Dia tercunggap-cunggap mencari nafas sambil mengetuk pintu.

"Ah...Sham. Baru sampai? Awak dah ketinggalan keretapi lagi!",
tengking Cikgu Suria diikuti dengan derai tawa kawan sedarjahnya.

Malu. Memang malu bila ditertawakan begitu oleh kawan-kawannya.
Tanya sahaja sesiapa pun murid darjah tiga sepertinya, pasti mereka
mengatakan yang sama. Namun kulitnya sudah tebal. Bukan baru ini dia
ditertawakan. Sudah lali rasanya dia dengan ejekan kawan-kawannya.
Dia tidak peduli. Berada di sekolah lebih baik daripada berada di rumah
jahanam itu.

"Shamsuri Johari! Awak tak dengar ke saya panggil?", herdik Cikgu
Suria lagi. Dia sudah bosan dengan perangai Sham yang boleh dianggap
nakal
ini.

Sham bukan setakat selalu datang ke sekolah lambat, kerja rumah pun
sering tidak terbuat. Sudah tiga kali dalam masa dua bulan Sham di
tangkap
kerana mencuri bekalan makanan kawan-kawannya. Cikgu Suria merenung anak
muridnya yang mendapat gelaran "budak busuk" ni dari kawan-kawannya.
Pakaian
Sham bukan sahaja tidak bergosok, malah kelabu, tidak putih seperti
pakaian
seragam anak muridnya yang lain.Yang hairannya abang dan kakak Sham
sentiasa
kemas bila ke sekolah. Bila ditanya kenapa, Sham tidak pernah menjawab.
Abang dan kakaknya pula mengatakan yang Sham memang macam tu...pengotor.

Sham hanya menunduk. Matanya hanya tertumpu kepada kasut yang sudah
berlobang.

"Sham tengok muka saya bila saya bercakap dengan awak!"
Perlahan Sham mengangkat mukanya, memandang tepat kearah Cikgu
Suria.

"Kasihanilah aku...", pinta Sham dalam hati.
"Ya Allah Sham!", jerit Cikgu Suria sebaik sahaja terpandang wajah
Sham.
"Apa dah jadi dengan awak?", tanya Cikgu Suria sebaik sahaja
terlihat luka yang melintang dari dahi hingga ketepi mata kiri Sham.

Patutkah aku berterus-terang? Patutkah aku menceritakan yang
sebenar?
Tidak, tidak, ini semua salahku. Aku yang nakal. Aku yang jahat, jerit
Sham dalam hati.

"Saya...saya jatuh tangga Cikgu..!Sebab tu saya lambat", bohong
Sham.
"Jatuh tangga? Mustahil, takkan jatuh tangga boleh luka memanjang
macam ni?", rasa kesian pada anak muridnya timbul serta-merta.

"Betul Cikgu, saya ....saya jatuh tangga.....", Sham tergagap.
"Tak apalah mari ikut saya. Murid-murid buat kerja yang saya bagi
tadi. Aina kamu tolong jaga kelas. Sebentar lagi kelas Cikgu Hashim akan
bermula. Saya nak bersihkan luka Sham ni?", perintah Cikgu Suria.

Dia lalu membawa Sham ke bilik guru dan membersihkan luka anak
muridnya itu. Dalam juga lukanya.

Cikgu Suria merenung anak muridnya. Walau pun Sham nakal tetapi dia
tidak pernah membantah cakap guru-guru di situ. Walaupun Sham sering
tidak membuat kerja sekolah tetapi setiap kali peperiksaan, Sham akan
lulus.
Malah lebih baik dari setengah murid-muridnya. Apa sebenarnya masalah
Sham?
Kenapa dia begitu berbeza dari kakak dan abangnya?

"Sham...Cikgu nak tanya sikit boleh?"
"Tanya apa Cikgu?"
"Sham ada masalah ke di rumah?"
"Tak tak ada Cikgu...semua okay.."
Cikgu Suria merenung muridnya lagi. Perlahan-lahan dia membelek
tangan dan kaki Sham. Ternyata banyak kesan luka dan lebam.

"Sham jangan takut...Cikgu nak tolong Sham. Walaupun Cikgu selalu
marah pada Sham, Cikgu sebenarnya sayang pada Sham."
Sham memandang wajah bersih Cikgu Suria. Sayang! Sudah lama dia
tidak mendengar perkataan itu. Air jernih mula tergenang di anak
matanya.
Perkataan itu terngiang-ngiang di telinganya.

"Kenapa Sham? Ceritalah, Cikgu sedia mendengar. Cikgu nak tolong
Sham, Cikgu nak jadi kawan Sham..", pukuk Cikgu Suria.
Cair perasaan Sham bila dipujuk demikian rupa. Kalaulah keluarganya
boleh berbuat demikian sepertimana dulu, tentu Sham akan menjadi
manusia paling gembira.

"Cikgu janji cikgu tak ceritakan pada orang lainkan.? Cikgu janji
cuma kita sahaja yang tahu!", desak Sham. Tidak sanggup dia bayangkan
akan
hukuman yang akan diterima kalau rahasia ini terbongkar.

Cikgu Suria mengganguk dan memberikan senyuman.
"Sebenarnya saya tak jatuh. Mama...mama baling tin minuman pada
saya. Tapi itu bukan salah mama. Saya yang jahat, saya yang nakal"

"Apa yang Sham buat?"
"Sham tak habiskan kerja rumah dalam masa 20 minit seperti mama
suruh."
"Kerja rumah? Maksud Sham kerja sekolah?"
"Bukan...bukan !Kerja rumahlah. Cuci piring, sapu, mop, cuci bilik
air....."
Cikgu Suria terpempan. Mana mungkin anak sekecil ini di suruh
membuat kerja-kerja sebegitu?

"Selalu Mama suruh Sham buat macam tu?"
"Hari-hari. Sebab tulah Sham selalu datang lambat"
Cikgu Suria mendengar tekun. Rupanya anak ini sering tidak di beri
makan kalau mamanya tidak puas hati dengan kerja yang dibuat. Sebab
itulah
Sham mencuri makanan kawan-kawannya. Dia terpaksa rupanya. Patutlah pun
tubuh Sham lebih kecil dari kawan-kawan yang sebaya dengannya, rupanya
dia
tidak dapat makan yang sepatutnya. Tapi apa salah anak ini? Mengapa
mamanya
sanggup mendera anaknya sendiri? Sedangkan abang dan kakak Sham tidak
mengalami nasib sepertinya. Itulah yang ingin Cikgu Suria tahu.

Sham pula bagai orang mengantuk disurungkan bantal. Habis diceritakan
pada Cikgu Suria tentang deritanya selama ini. Kata Sham tempat
tidurnya hanyalah sehelai tikar tipis di bilik stor. Sham hanya
dibenarkan
makan kalau mamanya berpuas hati dengan kerjanya ataupun Sham boleh
menghabiskan kerjanya tepat pada jangka waktu yang diberi. Itupun
sekadar
sisa
makanan abang dan kakaknya dan cuma sehari sekali. Kucing belaan mamanya
rasanya lebih beruntung dari dirinya. Kelmarin, setelah mamanya
diberitahu
oleh guru disiplin tentang perangainya yang suka mencuri makanan di
sekolah, Sham dipaksa memuntahkan isi perutnya. Bila Sham gagal, ibunya
memaksa
dia menelan "Klorox". Konon katanya supaya hati dan lidah Sham bersih
dari
bercakap
bohong.

Semenjak itu Sham serik. Lebih baik berlapar dari disuruh menelan
benda tu. Sakitnya bukan kepalang. Semalaman Sham meringkuk menahan
kesakitan
di perutnya. Dan malam itu, Sham tidur dengan airmata. Pernah Sham cuba
lari dari rumah neraka itu tetapi entah kenapa, belum jauh dia berlari,
Sham sudah berpatah balik. Takut! Mungkin itulah sebab utamanya. Dia
takut
dibelasah lagi kalau tertangkap. Airmata mula tergenang di anak mata
Cikgu Suria. Tidak pernah terlintas dihatinya akan penderitaaan Sham.

"Tapi kenapa Sham? Kenapa ibu Sham buat macam tu"
"Sebab kata mama, pasal Shamlah papa cari perempuan lain. Pasal Shamlah
papa
pergi tinggalkan rumah. Sham nakal, Sham selalu susahkan mama. Abang dan
kakak
tak macam Sham".

"Mama Sham kata macam tu pada Sham?"

Sham hanya mengangguk bila disoal begitu.
Kesian, anak ini menjadi mangsa kekalutan fikiran mamanya kerana
benci akan perbuatan suaminya. Budak ini harus di selamatkan, fikir
Cikgu
Suria.

"Sham tunggu di sini ya! Ni makan coklat ni, nanti cikgu datang
balik ok,". Sham tidak menjawab. Dia lebih tertarik kepada sebungkus
coklat
yang dihulur Cikgu Suria. Sudah lama dia tidak merasa makanan sesedap
itu.

Sebentar kemudian Cikgu Suria kembali bersama Cikgu Baharom, gurubesar
sekolah itu. Sham cemas. Kenapa Cikgu Suria bawa Cikgu Baharom? Cikgu
Suria kan dah janji tak akan beritahu sesiapa pun!

"Sham Cikgu nak tengok luka Sham. Jangan takut, Cikgu pun nak tolong
Sham". Sham kaku. Habislah aku kali ini, matilah aku kali ini. Lepas ini
pasti satu panggillan telefon akan singgah ketelinga mama. Mama mesti
pukul aku setengah mati, jerit Sham dalam hati.

Setelah membelek luka Sham dan kesan-kesan luka dan lebam di badan
Sham, Cikgu Baharom hanya mengeleng kepala.

"Biar saya yang uruskan......awak temankan dia di sini..", bisik cikgu
Baharom pada Cikgu Suria.

"Cikgu... Cikgu janji tidak beritahu orang lain tadikan. Ini
rahsia kita....," ujar Sham dalam tangis. Airmatanya sudah tidak bisa
bertahan. Melihat Sham menangis, airmata Cikgu Suria mengalir juga.

"Sham....Cikgu nak tolong Sham...Cikgu nak lepaskan Sham dari siksa
ini...", pujuk Cikgu Suria.
"Tidak...Cikgu tak faham...cikgu tak faham! Nanti kalau mama tahu
saya akan di denda...saya tak mahu cikgu...saya tak mahu..Lagi pun saya
yang nakal, saya yang jahat. Kalau tak kerana saya papa tak pergi",
esakan
Sham makin menjadi. Wajahnya yang ceria mengunyah coklat sebentar tadi,
bertukar menjadi pucat. Ketakutan jelas terserlah di wajahnya.

"Tidak Sham....Sham tak nakal. Bukan sebab Sham papa pergi. Cikgu
janji, Sham tak akan pulang ke rumah itu lagi. Cikgu akan pastikan Sham
di
bawa jauh dari rumah itu."

Badan Sham yang kecil di rangkul Cikgu Suria dengan penuh kasih sayang.

Hiba benar hatinya mendengar tangisan Sham. Walau apa pun terjadi, dia
akan
mempertahankan hak anak ini. Setengah jam kemudian, Cikgu Baharom muncul
bersama seorang wanita berbadan gempal.

"Cikgu Suria....ini Cik Maria dari Jabatan Kebajikan.",
Perlahan Cikgu Suria melepaskan pelukannya. Wajah Sham di renung
penuh simpati. Airmata Sham, dikeringkan dengan tangannya sendiri.

"Sham...ini Cik Maria. Dia akan jaga Sham. Dia akan pastikan Sham
selamat.
Sham jangan takut ya?"

"Tak mahu, Sham tak mahu. Sham takut!"
"Sham jangan takut. Cikgu sendiri yang akan pastikan Sham
selamat..",Cikgu Suria mengusap rambut Sham yang memang sudah sedia
kusut.
Menyesal dia kerana tidak dari dulu membantu muridnya ini.

"Ini....Sham bawalah bersama.", Cikgu Suria menghulurkan bungkusan
coklat
tadi.
"Nanti Cikgu datang tengok Sham OK? Cikgu janji Cikgu akan tolong
Sham", pujuknya.

Inilah jalan yang terbaik buat Sham, fikir Cikgu Suria. Tangan halus
Sham
dipimpinnya hingga ke sebuah van yang sudah menunggu. Cikgu Suria kaku
disitu sehinggalah van itu sudah tidak kelihatan lagi. Cikgu Suria
menyeka
airmatanya.
Dia baru teringat akan sesuatu yang harus dia lakukan. Bingkas dia
menuju
ke
mejanya, mencapai daftar nama murid dan mendial nombor rumah Sham.

"Hello....", terdengar suara wanita yang agak garau di hujung
telefon.

"Ini, Puan Rohana ke, ibu Sham?", tanya Cikgu Suria.

"Ya...siapa ni?"
"Tak perlu puan tanya. Saya telefon ini untuk memberitahu Puan yang
Sham tidak akan pulang ke rumah puan buat selamanya....!", pantas tangan
Cikgu Suria meletakkan ganggang telefon. Puas hatinya.

Rohana mendengus. Siapa pulak yang berani menemplaknya sebentar tadi?
Tak
sayang
mulut betul! Kalaulah orang itu berada di depan matanya memang
diganyangnya
cukup-cukup. Sham...budak celaka tu lagi. Tak habis-habis dia buat hal.
Memang
nak kena budak tu. Nantilah kalau dia balik nanti, siap dia aku
kerjakan,
fikir
Rohana. Tapi kalau benar kata si pemanggil yang Sham tak balik, macam
mana?
Tak ada orang pulak yang boleh di suruh buat itu ini...Ah persetan
dengan
budak tu. Memang pun dia benci memandang wajah Sham yang hampir seratus
peratus menyerupai
wajah suaminya. Rohana termenung. Kenapa Sham yang jadi mangsanya selama
ini, bukan
Syukur anak sulungnya atau Shimah anak perempuannya?

Seingatnya ini semua bermula 4 tahun lalu ketika Sham berumur 5 tahun.
Masih jelas diingatannya malam penuh trajedi itu. Malam itu, Johari,
lelaki
yang menjadi
sanjungan hatinya meminta izin untuk bernikah satu lagi. Bayangkanlah
betapa
kecewanya dia bila diberitahu yang hubungan Johari dan Misliah,
perempuan
jalang
yang ingin dia dinikahi itu sudah berjalan hampir enam tahun malah
semenjak
Sham
masih dalam kandungannya lagi. Perempuan itu sedang hamilkan anak
Johari,
sebab
itulah Johari perlu menikahinya. Hanya Tuhan yang tahu perasaannya
ketika
itu.
Sungguh tidak terduga, pergorbanannya selama ini sia-sia belaka. Rohana
sanggup meninggalkan keluarganya yang kaya-raya kerana cintakan Johari.
Dia
sanggup melukakan hati orang-tuanya kerana Johari. Tapi inikah balasan
Johari padanya? Johari
menduakannya dalam diam.

Balik sekolah ditanya kedua abang dan kakaknya Sham. Ternyata benar
mereka
cuba
mengelak dan memberi berbagai alasan.

Bukan mereka tidak kesian pada Sham, tetapi murid darjah enam dan lima
ini
takut
dimarahi oleh mama mereka. Walaupun Rohana belum melibatkan mereka dalam
"permainan"nya dengan Sham, mereka bimbang apa yang Sham alami akan
terpaksa mereka lalui juga. Mereka sudah masak dengan perangai mama
mereka.

"Hei aku tanya....kau nampak budak tu tak?", herdik Rohana.
"Tadi....Sham...Syukur nampak...Sham....", tergagap-gagap Syukur cuba
menghabiskan kata-katanya.

"Apa hal ni? Apa kena dengan kau Syukur...cuba cakap betul-betul!",
tengking Rohana lagi.Syukur memandang Shimah.

"Sham kena bawak dalam van jabatan kebajikan....", tergopoh Syukur
menghabiskan ayat itu.

"Apa? Kenapa kau orang tak cakap dengan mama?", pantas tangan Rohana
mencapai telinga Syukur. Dipiatnya telinga syukur.

"Kau pun sama..kenapa tak beritahu mama!", marahnya pada Shimah pulak.
Tangannya singgah ke pipi Shimah.
"Kamu berdua memang nak susahkan mamakan!"
Rohana naik radang. Di tampar keras badan Syukur dan Shimah
bergantian.Syukur dan Shimah hanya mampu bungkam di tempat mereka
berdiri.
Air mata mula membasahi pipi mereka. Menjawab bermakna mencari nahas.
Lebih
baik berdiam dan membiarkankan Rohana melepaskan geramnya. Mereka sudah
banyak belajar dari penderitaan Sham. Mereka tahu taktik Sham mendiamkan
diri
selalu berjaya meredakan kemarahan Rohana. Tanpa Sham di rumah, apakah
mereka pula yang jadi mangsanya?

Dalam kekalutan dan keriuhan mulut Rohana, tiba-tiba terdengar ketukan
pintu
yang amat kuat. Rohana terpegun. Syukur dan Shimah masih kaku di tempat
mereka
berdiri. Mereka hanya boleh menangis menahan kesakitan. Ketukan pintu
bertambah
lantang.

"Polis...tolong buka pintu...", kedengaran suara dari luar.

Rohana terduduk. Apa dah jadi?, bisiknya sendiri. Melihat mamanya
diam terduduk, Syukur berlari membuka pintu. Sungguh dia tidak mahu
tersiksa seperti Sham.

Dua orang pegawai polis, seorang lelaki dan seorang wanita melangkah
masuk ke ruang tamu.

"Awak Puan Rohana Sulaiman?", tanya pegawai polis lelaki itu.
Rohana hanya mampu mengangguk.

"Puan, kami ada waran untuk menangkap puan kerana disyaki mendera
anak puan, Shamsuri Johari. Tolong ikut kami ke balai..!"

Rohana kejung, meraut wajahnya berkali-kali. Bagai tidak percaya ini
semua
akan
berlaku kepadanya. Tidak! Ini semua salah faham. Dia sayang semua
anak-anaknya
termasuk Sham. Dia yang melahirkan mereka. Mana mungkin dia tidak
sayangkan
mereka? Dalam kebingungan, Rohana hanya menuruti pengawai polis wanita
itu
ke kereta polis.
Dan dari dalam kereta itu, dia hanya mampu melihat Syukur dan Shimah
diiring masuk
ke sebuah van jabatan kebajikan. Air jernih mula mengalir di pipinya.
Inikah kesudahannya?

Sham hanya menunduk bila Rohana dibawa ke kandang orang bersalah. Demi
Tuhan, rasa
takut terhadap Rohana masih menebal di hatinya. Dia pasti ketika ini
Rohana
memandang tajam terhadapnya dengan senyuman penuh sinis. Dia pasti akan
kalah dengan tenungan begitu. Sham terasa tangannya diramas perlahan
oleh
Puan Maria, pengawai sosial yang
bertangung-jawab ke atas kesnya. Dia menoleh dan membalas senyuman Puan
Maria dengan
senyuman yang dibuat-buat. Di saat itu, berdepan dengan Rohana, tidak
mungkin
dia dapat tersenyum dengan sempurna.

"Masa keputusan dah tiba..", bisik Puan Maria.
Mata Sham beralih kepada tuan hakim yang sibuk membelek kertas-kertas di
hadapannya. Lelaki tua itu mengerut-ngerutkan dahinya.

"Baiklah....setelah saya timbangkan semua hujah-hujah dan mengamati
bukti-bukti yang ada...mahkamah mengambil keputusan....",
tuan hakim berhenti sebentar membetulkan tempat duduknya.
Sham hanya mampu menelan air ludah. Gengaman tangan Puan Maria semakin
kuat.

"Shamsuri Johari...awak akan dikembalikan kepada penjagaan ibu awak,
Rohana
Sulaiman...", bergema suara tuan hakim mememecah kesunyian.

Sham memandang tuan hakim, memandang Puan Maria yang sudah mula
menangis.
Mata
Sham beralih kepada Rohana. Wanita itu merenung tepat ke arahnya dan
ketawa
berdekah-dekah.

"Kau kalah Sham, kau kalah budak busuk....!", kedengaran suara Rohana
mengejeknya.

"TIDAK!!!!!!!!!!!!!!", pekik Sham.

Peluh membasahi dahi dan badan Sham. Dia merenung sekeliling.Bukan, dia
bukan berada
di bilik mahkamah saat ini. Dia sedang duduk di atas sofa di Doctor's
Lounge di tempat dia bertugas.

"Astaghfirullah al azim...", Sham beristighfar. Dia tertidur
rupanya.Sham
mengeluh. Mimpi sebegini sudah tidak asing pada Sham. Walaupun dia tidak
pernah bertemu Rohana lagi selepas mahkamah memutuskan untuk menjatuh
hukuman penjara tiga tahun ke atas Rohana, namun ketakutan yang terpahat
di
hati dan jiwa nurani sering juga terbawa ke alam mimpi. Begitulah
kuatnya
pengaruh Rohana terhadap dirinya. Sham termenung. Fikirannya melayang ke
Rumah Bakti Darul Istiqamah. Di situlah anak-anak yang terbuang dan
senasib
dengannya di besarkan. Kalau abang dan kakaknya memilih untuk tinggal
bersama papa mereka, Sham lebih rela di tempatkan di Darul Istiqamah.
Sham
tidak fikir dia boleh tinggal dengan papanya yang telah meninggalkannya
untuk disiksa oleh mamanya.
Bukannya Sham pendendam, tetapi hatinya yang terluka teruk tidak mungkin
dapat terubat jikalau melihat papanya di depan mata saban hari.

Di Darul Istiqamah, Sham belajar segala-galanya. Dia mula mengutip harga
dirinya yang telah lama dirobek oleh Rohana. Cikgu Suria, wanita itulah
yang memberinya semangat untuk dia meneruskan hidup. Dia tidak jemu-jemu
melawat Sham di Darul Istiqamah, walaupun dalam keadaan sarat
mengandungkan
anaknya yang pertama. Beruntunglah anak-anaknya mendapat seorang ibu
yang
penyayang. Sedangkan Sham yang bukan darah dagingnya begitu
bersungguh-sungguh dia memberi dorongan, apatah lagi zuriatnya
sendiri, fikir Sham.

Tetapi sayang, sedang Sham menjangkau umur tiga belas tahun dan baru
mahu
menjenguk
ke alam remaja, Cikgu Suria terpaksa ke Jepun mengikuti suaminya yang di
tugaskan
di sana. Hancur hati Sham saat itu. Kepada siapalah Sham mengendeng
kasih?
Kepada siapakah Sham dapat mangadu suka-dukanya? Hatinya yang merajuk
mulanya terpujuk
juga dengan kedatangan warkah-warkah indah dari Cikgu Suria. Namun lama
kelamaan surat-surat itu berkurangan. Walau berpucuk surat Sham kirim,
hanya sesekali sahaja
suratnya berbalas. Terasa kehilangan benar Sham saat itu. Kekosongan
yang
dia rasa bercampur dengan rasa marah dan takut.

Bingung! Itu perkataan lebih tepat untuk mentafsirkan jiwa Sham ketika
itu.
Perlahan Sham mula mencari keseronokkan untuk mengisi kekosongan
hatinya.
Dia
belajar merokok. Dia belajar ponteng sekolah. Pendek kata, Sham sanggup
lakukan apa
sahaja untuk diterima oleh kawan-kawan sekolahnya. Pernah satu ketika
Sham
ikut
serta membocorkan tayar kereta guru disiplinnya setelah dicabar oleh
Manaf,samseng sekolah yang memang terkenal nakalnya. Bangga tidak
terkira
Sham disaat Manaf
memujinya di depan dua-tiga orang kroni Manaf. Berkawan dengan Manaf
bermakna tiada siapa pun yang boleh mengertaknya walaupun pengawas
sekolah
sekalipun. Mungkin itulah yang sebenarnya dia cari - >
perlindungan,walau
dalam bentuk apa dan bagaimana!

Melihat perubahan dalam diri Sham, Puan Maria mengesyorkan agar Sham
berjumpa dengan
Dr Shahril, pakar sakit jiwa yang datang ke Darul Istiqamah dua kali
sebulan.
Pertemuan pertamanya dengan Dr Shahril lebih banyak diamnya dari
bercakap.
Bukan
doktor ini yang dia perlukan. Dia perlukan belaian kasih-sayang, dia
perlukan kepercayaan, dia perlukan Cikgu Surianya. Bukan doktor ini,
bukan
, bukan. Menyebut
nama Sham sahaja susah, macam mana nak menyakinkan Sham, hendak menolong
Sham.

Pertemuan kedua Sham dengan Dr Shahril lebih tragis. Dia bosan dengan
lelaki yang asyik memanggilnya Sam dengan slanga mat salehnya dan bukan
Sham seperti mana sepatutnya. Soalan Dr Shahril juga menyakitkan hati -
soalan-soalan yang terjerus kepada kebencian Sham terhadap Rohana,
sedangkan Sham sama-sekali tidak membenci Rohana. Hanya takut...itu
sahaja.
Tidak tahukah doktor bodoh itu membezakan perkataan benci dan
takut. Bila Sham membantah dengan suara yang keras, Dr Shahril
mencatitkan
yang berikut dalam "case sheet"nya ,Inclination towards aggressiveness
Anger Management - very low

Sham bukan bodoh. Mata pelajaran Bahasa Inggeris adalah subjek
"forte"nya.
Dia tahu
apa makna yang tercatat di sekeping kertas itu. Dia sama sekali bukan
agresif. Terus sahaja Sham mengangkat kaki mahu berlalu dari situ.
Pantas
pula tangannya disambar Dr Shahril. Detik itulah berlaku kejadian tolak
menolak antara Sham dan Dr Shahril
sehingga doktor itu jatuh terperuk di tepi meja.

"Saya tak mahu jumpa awak lagi!", pekik Sham.
"Dan untuk sekelian kalinya, nama saya Sham bukan Sam!", sambung Sham
sebelum meninggalkan Dr Shahril yang terpinga.

Semalaman Sham tidak tidur selepas itu. Dia menangis semahu
hatinya. Dunianya sudah gelap. Selepas insiden itu tentu tiada siapa
yang
akan
percayakan dia lagi. Sham pasti! Keimanannya terhadap Tuhan yang
sememangnya tipis semakin menipis. Mengapa dia yang harus melalui ini
semua? Apa salahnya? Itulah yang menjadi pertanyaannya saban hari. Sham
tahu dia berdosa kerana mempersoalkan qada dan qadar Tuhan. Tetapi itu,
hatinya sudah hancur lebur. Disaat dia sudah hampir benar dengan
kecundangan, Cikgu Suria kembali semula menyinari hidupnya. Rupanya
Cikgu
Suria bukan sengaja melupakannya.

Sebaik sahaja disahkan hamil dengan anak keduanya, Cikgu Suria didapati
mengidap penyakit pangkal rahim. Anak dalam kandungannya terpaksa
digugurkan demi menyelamatkan nyawanya sendiri. Cikgu Suria terpaksa
dibedah dan menjalani perawatan "chemo-therapy" yang menyakitkan.

Cikgu Suria berjuang nyawa rupanya. Kini Cikgu Suria sudah sembuh dari
penyakitnya dan pulang mencari Sham. Sungguh Cikgu Suria terkejut bila
diberitahu yang Sham sudah jauh berubah. Pertemuannya dengan Sham
diiringi
tangisan yang memilukan. Walaupun sudah menjangkau umur lima belas tahun
ketika itu, Sham tidak segan di peluk Cikgu Suria. Kekosongan jiwanya
hampir tiga tahun itu, terubat juga. Sejak dari hari itu Sham
menjadi anak angkat Cikgu Suria sehingga dia berjaya dalam pelajaran
nya...

"Terasa benar badan dia pulak dah semakin lemah", ngomel Jasmine.

"Dah lama ke penyakitnya ni?"

"Dah dekat 15 tahun Sham. Asalnya dia ni dulu di penjara. Entah apa jadi
dekat
penjara tu dia ni semakin lama semakin suka cakap sendiri. Menyanyilah,
menangislah.
Tu yang dia orang hantar sini. Tiga tahun dia di sini. Bila dia dah ok
sikit, dia di hantar ke rumah kebajikan sebab dalam failnya tercatit
tiada
waris. Tapi itulah, empat lima bulan sekali, mesti jumpa dia kat sini.
Orang-orang kat rumah kebajikan kadang-kadang tak tahan dengan
kerenahnya.
Kalau dah datang angin dia, habis di pukul semua orang di depannya.",
cerita Jasmine tanpa disuruh.

"Masuk penjara?" Kenapa?", tanya Sham.

"Classic case....dera anak!", jawab Jasmine pendek, hampir berbisik.
Sham mengerutkan dahi.

"Habis anak dia tak cari dia ke?"

"Pihak hospital dah cuba hubungi anak-anaknya dan suaminya. Mereka tak
mahu
terima
dia balik. Lepas tu mereka pindah, tak mahu pergi mana. Tak silap, ada
satu
lagi
anaknya yang dipelihara orang. Tapi kami dah malas nak cari. Sedangkan
anak
yang tak
di pelihara orang tidak mahu terima dia balik, inikan anak yang dia tak
pelihara."

Berdegup jantung Sham.

"Boleh I tengok fail ni?", pinta Sham.
Jasmine hanya mengangguk. "Be my guest..", katanya

Perlahan Sham membuka fail di depannya. Sham menelan air ludah sebaik
sahaja melihat nama pesakit yang tertera diatas.

"Rohana Sulaiman...", bisiknya sendiri.Mengeletar tangan Sham menyelak
satu-persatu catatan di dalam fail itu.

Hampir tidak percaya Sham setelah sekian lama, nama itu masih menggugat
keberaniannya.

"Tidak...aku tidak boleh membiarkan dia menhantui hidupku buat
selamanya",
jerit Sham dalam hati.

"Jasmine, boleh you bawa I jumpa dia?"

"Nantilah...besok bila I go on my rounds, you can tag along..."

"No Jasmine. I would like to see her as in NOW, please", pinta Sham
separuh
merayu.

Jasmine membesarkan mata memandang Sham. Wajah kacak Sham direnungnya.
Bersungguh benarkah Sham mahu menolongnya? Doktor muda yang menjadi
perbualan jururawat-jururawat di sini kerana kekacakannya, ternyata
berperangai pelik. Sudah dua tiga kali dia perhatikan Sham yang suka
termenung dan berkhayal ini.

"OKlah!", akhirnya itu yang keluar dari mulut Jasmine. Dia malas mahu
bertanya lebih lanjut.

Jasmine menunjukkan katil di mana Rohana ditempatkan. Rohana kelihatan
sedang nyenyak tidur. Sham melangkah perlahan menuju ke arah itu.
Degupan
jantungnya semakin kencang. Tidak, dia tidak akan benarkan Rohana
menguasai
emosinya lagi. Sudah cukup dia dihantui cerita lama. Perempuan tua
dengan
rambut yang tidak terurus di depannya ini dipandang
dari hujung rambut ke hujung kaki. Bajunya berbutang senget dan terpecak
dengan tumpahan cecair bewarna coklat. Bau hapak menangkap hidung Sham.
Memang benar sebagaimana catatan dalam fail yang dibaca tadi, Rohana
sudah
3 hari tidak mandi. Dia tidak mahu disentuh langsung. Makanan pun tidak
terjamah. Ubat pun tidak mahu ditelan walaupun dipaksa. Akhirnya Rohana
dibiarkan sendiri.

Perempuan inikah yang harus aku takuti? Tanya Sham dalam hati.
Tidak sama sekali. Tuhan maha adil. Sebagaimana dia tersiksa, begitulah
yang
dirasa Rohana sekarang ini. Tapi walau apapun Rohana tetap ibu yang
melahirkannya. Tergamakkah dia membiarkan Rohana begini?

"Puan....", perlahan Sham mengerakkan Rohana. Jasmine hanya duduk
memerhati
dari jauh.
Rohana membuka mata. Demi melihat wajah Sham, Rohana cuba bangkit tetapi
ternyata badan yang tidak menjamah makanan selama tiga hari itu, lemah
tidak bertenaga.

"Johari...kau datang nak bunuh aku kan...", bebel Rohana perlahan tetapi
tegas.

Wajah Sham yang mirip Johari ketika waktu mudanya, mengundang emosi
Rohana.
Sham hanya mengelengkan kepala.

"Aku tahu aku dah lemah, sebab itu kau datang nak bunuh kan Jo...",bebel
Rohana lagi.

"Saya bukan Johari.......", bisik Sham.

"Kau jangan bohong...aku tahu kau datang nak bunuh aku sebab aku siksa
Sham....
Dia anak kesayangan kau kan. Aku tahu aku salah, aku siksa Sham....dan
kau
kemari
sebab nak balas dendamkan!", Rohana mula meraung.

Jasmine yang jadi permerhati bingkas bangun mendekati Sham. Bimbang dia
kalau Sham diapa-apakan. Sham menunjuk isyarat tangan agar Jasmine tidak
masuk campur dahulu.
Dia mahu tahu apa sebenarnya pergolakan dalam jiwa Rohana.

"Aku sayang Sham....aku sayang Sham. Aku cuma mahu siksa dia agar kau
balik
bila
lihat Sham kena siksa. Tapi kau tak balik juga. Kenapa kau tak balik?",
tangisan
Rohana semakin menjadi.

Hampir Sham menitis airmata mendengar perkataan sayang dari perempuan
yang
bergelar mamanya ini.

"Mana Sham? Aku nak minta maaf dengan dia...mana Sham?"

Perasaan kesian meruntun di hati Sham. Rohana diamuk rasa berdosa
terhadap
Sham selama ini. Haruskah Sham terus mendiamkan?

"Mama....ini Sham mama. Ini Sham bukan Johari...", ujar Sham perlahan.

Tangan Rohana di ciumnya. Jasmine yang berada disebelahnya membeliakkan
mata. Sungguh dia tidak menduga yang Sham adalah anak ketiga Rohana yang
menjadi misteri selama ini.
Rohana melihat Sham mencium tangannya.

"Kau Sham...kau Sham...?", tanya Rohana bagai tidak percaya. Tangan Sham
dijadikan pautan dan dia duduk menghadap Sham.

"Betul ke kau Sham?", tanya Rohana lagi. Rohana mengusap wajah Sham.

"Ya mama, saya Sham, anak mama..."

"Sham....!", jerit Rohana dan memeluk tubuh Sham.

"Sham maafkan mama Sham...", tangisan Rohana memenuhi wad yang sunyi
sepi.

Air jernih yang Sham tahan-tahan tadi, gugur juga di pipinya. Jasmine
juga
menitiskan airmata meliahat drama di depannya. Rohana masih meraung
memanggil nama Sham. Sungguh tidak terduga, setelah sekian lama dia cuba
merisik kabar, akhirnya Sham di temui juga. Begegar badan Sham dengan
tangisan Rohana. Rasanya perasaan takut kepada wanita ini sudah hilang
serta-merta. Yang tinggal cuba perasaan kasihan yang amat sangat.Gegaran
badan Rohana semakin menghilang. Suara tangisannya pun sudah reda.

Kenapa pula? Perlahan Sham meleraikan pelukan mereka. Mata Rohana sudah
tertutup rapat. Badannya lemah tidak bermaya. Rohana pengsankah?

"Mama...mama..", perlahan Sham mengerakkan tubuh Rohana. Tiada respon.

"Mama..mama?", panggil Sham sekali lagi.

Jasmine mendekati meletakkan jari ke leher Rohana. Kemudian tangannya
beralih ke pergelangan tangan Rohana.Perlahan dia menoleh pada Sham.

"Sham...dia dah tak ada...", tersekat-sekat suara yang keluar dari mulut
Jasmine.

Sham melepaskan tubuh Rohana perlahan. Wajah pucat yang tidak bernyawa
direnungnya
penuh syahdu. Pergi sudah mamanya bersama ketakutan yang tersemat di
hati
sanubarinya selama ini. Kiranya inilah suratan Tuhan, dia akan menerima
dengan tenang.
Tuhan maha adil. Tuhan maha mengetahui. Patutlah kata Jasmine Rohana
tidak
sebecok selalu, rupanya dia sudah merasakan kematian yang semakin
menghampir. Moga-moga roh mamanya di tempatkan bersama orang-orang yang
Dia redhai, itu sahaja doanya.


SEKIAN.....

No comments:

Post a Comment